LONDON: Carlo Ancelotti memulakan tugasnya di Chelsea minggu ini dengan Luiz Felipe Scolari, jurulatih Brazil yang dipecat pada pertengahan musim lalu, memberi amaran bahawa kuasa pemain cukup luas di kelab Liga Perdana dan itulah yang memperkecilkan kuasanya ketika tempoh singkatnya di Stamford Bridge.
Scolari bertahan hanya tujuh bulan di kelab barat London itu berikutan pelantikan berprofil tingginya setahun lalu, dengan bekas jurulatih kebangsaan Portugal dan Brazil itu melihat keputusan merudum di atas padang dan keyakinan ke atas keupayaannya merosot di bilik persalinan.
Trio pemain senior - Didier Drogba, Petr Cech dan Michael Ballack - berjumpa dengan pemilik Chelsea, Roman Abramovich, mengenai corak pengurusan dan latihan jurulatih Brazil itu tatkala prestasi pasukan semakin merosot, dengan Scolari menyebut tiga pemain itu sebagai penyebab kepada pemergian awalnya.